Isnin, 9 Januari 2017

DAERAH BARU BAGAN DATUK: ZAHID HAMIDI

BAGAN DATUK: Pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah penuh yang ke-12 dilihat mampu memberi imej dan dimensi baharu kepada daerah itu yang dahulunya terpencil, terpinggir dan terlepas pandang. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan daerah ini bukan hanya perlu tertumpu menjadi hub industri dan pelancongan tetapi juga sebagai hub pendidikan. “Sebagai anak jati daerah Bagan Datuk yang telah diberi mandat untuk bersama-sama rakyat di sini, adalah menjadi impian kami semua untuk melihat pembaharuan dan pemodenan berlaku di daerah ini. “Justeru dengan pelan pembangunan Bagan Datuk yang telah dirangka dan aknn dilaksanakan, pasti akan beri imej dan dimensi baharu kepada daerah ini yang dahulunya amat terpencil terpinggir terlepas pandang,” katanya.  Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Turut berangkat ke Majlis tersebut Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Ujar beliau lagi, penubuhan daerah ini diharap dapat terus memacu arus pembangunan daerah ini agar mampu bersaing secara lebih baik serta menyerlahkan dimensi baharu Bagan Datuk sebagai wilayah pembangunan yag baharu. “Ia juga tanpa mengetepikan nilai-nilai tradisional serta elemen sejarah yang harus dikekalkan terutamanya yang menyentuh kedaulatan kesultanan negeri Perak,” katanya lagi.  Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyeru agar semua pihak untuk mengetepikan semua perbezaan pendapat. “Pembangunan itu sentiasa mahal harganya yang perlu dibayar tetapi ianya dibalas dengan kebencian, dilempar dengan fitnah dan dibawa dengan ‘sosial illness’. “Oleh demikian saya menyeru diri saya dan seluruh penduduk Bagan Datuk, kita ketepikan ketiga-tiga elemen yang berkenaan. “Ianya perlukan timbal balas dari seluruh rakyat bagan datuk untuk mendokong segala kemajuan dan pembangunan tanpa melemparkan dan melontarkan yang negatif terhadap sebarang elemen pembangunan yang akan dibangunkan,”katanya lagi.

Tiada ulasan: