Isnin, 9 Januari 2017
DAERAH BARU BAGAN DATUK: Perbadanan Koko dan Kelapa akan diwujudkan: Zahid
 Posted on Monday, January 9, 2017 3:11 pm
BAGAN DATUK: Satu Perbadanan Koko dan Kelapa bakal diwujudkan oleh kerajaan bagi menjamin hasil pengeluaran kelapa di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbadanan berkenaan akan diwujudkan dalam masa terdekat.
Beliau telah mengarahkan kementerian yang berkaitan untuk mengambil perhatian berhubung perkara tersebut bagi memastikan fungsi perbadanan itu tidak hanya tertumpu kepada koko semata-mata.
“Selama ini kelapa tidak termasuk dalam komoditi dan tidak termasuk dalam tanaman pertanian.
“Jadi dalam keadaan itulah penanam-penanam dan pekebun-pekebun kelapa berada dalam keadaan limbo (terumbang ambing) yang tidak berada di sana dan di sini.
“Saya telah mengadakan perundingan dengan Datuk Seri Mah Siew Keong (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) agar Lembaga Koko Malaysia mengambil kira industri kelapa dimana kertas daripada kementerian berkenaan kepada jemaah menteri akan disediakan bagi memasukkan kelapa sebagai komoditi selain daripada koko,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk sebagai Daerah Penuh ke-12 di Negeri Perak yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Tegasnya, beliau turut akan memantau perkara tersebut kerana ianya sesuai bukan sahaja untuk Bagan Datuk tetapi juga daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor; Kudat, Pontian, Batu Pahat dan beberapa kawasan kelapa yang lain agar perbadanan itu dijadikan elemen untuk membantu mereka.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini, negara terpaksa mengimport 1.5 juta biji kelapa setiap tahun bagi menampung permintaan.
“Oleh kerana tidak mempunyai rancangan jangka masa panjang, kerajaan ketika itu telah meluluskan secara blanked untuk menukarkan kelapa kepada kelapa sawit.
“Hasilnya inilah yang berlaku sekarang ini berlaku kekurangan penawaran walaupun permintaan tinggi untuk kelapa dan santan kelapa yang kita terpaksa import akhirnya,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai usaha menambah bilangan penanaman pokok kelapa di Bagan Datuk, beliau yang juga Ahli Perlimen Bagan Datuk berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat perladangan untuk mendapatkan benih-benih kelapa Matag.
“Dengan kerjasama sebuah syarikat perladangan yang tersenarai, kita akan mendapatkan benih-benih kelapa Matag yang keberhasilannya lebih tinggi dan tempoh keberhasilan itu lebih cepat berbanding dengan Malayan Tall atau kelapa tinggi,” ujarnya.
Beliau turut meminta kerjasama kementerian yang berkaitan untuk memperolehi peruntukan bagi benih berkenaan.
“Oleh kerana harga kelapa lebih tinggi daripada kelapa sawit dan jumlah pendapatan per hektar itu lebih tinggi
daripada lain-lain komoditi, saya akan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi untuk menyegerakan peruntukan perolehan benih bagi kelapa-kelapa Matag ini.
“Hal ini kerana peruntukan mesti diberikan untuk membeli benih dan menanam kelapa Matag serta spesies yang menyerupai dengannya agar kita dapat memenuhi permintaan dalam negara,” tambahnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan