IPOH 18 Ogos - Kerajaan negeri akan membangunkan Wilayah Perak Selatan (WPS) sebagai koridor ekonomi baharu negeri ini di Daerah Batang Padang dan Hilir Perak melibatkan kawasan seluas hampir 450,000 hektar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, komponen utama di bawah pelan pembangunan WPS ialah pembangunan Perak Eco Industrial Hub (Pecoh) dan Rungkup Terminal City. Menurut beliau, Pecoh merupakan pembangunan di atas tanah tebus guna seluas 1,376 hektar di Mukim Rungkup di Hilir Perak, merangkumi pembangunan terminal dan perindustrian bagi industri besi dan keluli bersepadu serta industri sokongan yang berkaitan. Kata beliau, manakala Rungkup Terminal City melibatkan pembangunan laut bersepadu dan pembangunan bercampur di kawasan seluas 1,636 hektar. “Kerajaan negeri juga telah mendapat kelulusan kerajaan Persekutuan bagi penubuhan daerah baharu yang dikenali Daerah Mua'lim. “Penubuhan daerah baharu tersebut tepat pada masanya selaras dengan kepesatan pembangunan di Tanjung Malim yang merupakan sebahagian daripada kawasan WPS serta cadangan pembangunan Bandar Belia di kawasan ini akan menambah kerancakkan pembangunan di daerah tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika Membentangkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Perak di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Menurut Zambry, kerajaan negeri turut merangka pembangunan Warisan Perdana Ipoh atau Ipoh Sentral untuk membangunkan semula kawasan segi tiga emas Lembah Kinta dengan anggaran pelaburan RM2 bilion. “Projek tersebut akan menjadi mercu tanda baharu bandar raya Ipoh,” katanya. Mengenai infrastruktur awam, Zambry berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek naik taraf Jalan Persekutuan Lumut-Taiping serta Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 233 kilometer. Beliau berkata, di Perak lebuh raya tersebut melibatkan laluan sepanjang 172 kilometer dengan pembinaan 11 persimpangan akan menjadi alternatif kepada Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS). Kata beliau, lebuh raya tersebut akan menjadi penggerak kepada komuniti perniagaan di negeri ini kerana laluannya akan menghubungkan bandar-bandar pesisiran Pantai Barat termasuk Pelabuhan Klang dan Lumut. “Bagi program pembangunan Pejabat Pentadbiran Daerah, fokus utama adalah kepada projek-projek sambungan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk pembinaan bangunan baharu dan kerja-kerja menaik taraf serta penyelenggaraan. “Turut dicadangkan dalam RMK-11 ialah pembinaan Kompleks Pentabdiran Daerah Kerian dan Daerah Manjung,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan