Isnin, 9 Januari 2017

NGV Tech di Bagan Datuk: Utusan Malaysia

BAGAN DATOH 3 April - Bagan Datoh pernah melalui zaman kegemilangan ketika era 70-an dan 80-an apabila digelar 'syurga' kelapa ekoran kepesatan industri itu sehingga menjadi sumber pendapatan utama penduduknya. Namun selepas dua dekad, Bagan Datoh melalui zaman 'malap' apabila industri kelapa jatuh merudum ekoran kejatuhan harga selain perkembangan pesat komoditi tanaman kelapa sawit dan koko. Keadaan itu tidak berpanjangan apabila kerajaan mengambil pelbagai langkah menyelamatkan industri tersebut termasuk memperkenalkan tanaman kelapa jenis Matag yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha. Bagaimanapun, tempoh 10 tahun kebelakangan ini menyaksikan Bagan Datoh mengalami proses transformasi ekoran pelaksanaan pelbagai program pembangunan oleh kerajaan selain menjadi tumpuan pelabur swasta yang berminat menanam modal di kawasan itu. Hakikat itu diakui Pegawai Daerah Hilir Perak, Ahmad Zainuddin Yop Samsuddin yang melihat potensi Bagan Datoh untuk menjadi kuasa baru perindustrian di Perak pada masa hadapan selain mengekalkan reputasinya sebagai lembah pertanian. "Kehadiran pelabur-pelabur swasta ini membuktikan Bagan Datoh sebenarnya bersifat ekonomik dan tidak lagi boleh dilihat sebagai kawasan pertanian semata-mata," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Beliau memberi contoh pelaburan RM620 juta oleh NGV Tech Sdn Bhd. (NGV Tech), syarikat milik penuh bumiputera untuk membina limbungan dan pusat penyelenggaraan kapal keluli di Bagan Datoh dijangka mampu mewujudkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan. Selain itu katanya, syarikat swasta, Gadaf Marble Sdn. Bhd. juga akan membangunkan pelabuhan pukal di kawasan seluas 809 hektar di Bagan Datoh yang kini melepasi fasa pertama dengan pembinaan jeti kargo dan penumpang, pusat penjaja serta pasar borong membabitkan kos lebih RM60 juta. "Begitu juga dengan cadangan syarikat Brazil, Vale S.A untuk menanam modal di Bagan Datoh selain rancangan pembinaan perumahan rakyat serta askar Wataniah. Jika ini dilaksanakan kelak, Bagan Datoh pasti mengalami pertumbuhan ekonomi yang cukup pesat," katanya. Jelas, inisiatif Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan itu melalui pelan pembangunan secara menyeluruh sejak 1990-an, kini sudah menampakkan hasil yang cukup ketara. Dalam hubungan ini, selain menumpukan kepada pencapaian pendidikan tinggi golongan muda di kawasan itu, beliau berusaha menggalakkan pertumbuhan industri-industri baru khususnya dalam bidang pelancongan dan perkhidmatan. Rancangan pelaksanaan Koridor Jajaran Pantai Barat oleh kerajaan negeri yang turut melibatkan Bagan Datoh juga dijangka merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Tiada ulasan: