Berita Utara December 30, 2016 14:14 PM Infrastruktur Taman Negeri Pulau Sembilan Sedang Dibangunkan BAGAN DATOH, 30 Dis (Bernama) -- Dua projek kemudahan asas di dua pulau dalam gugusan Taman Negeri Pulau Sembilan dekat sini sedang dan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat, kata Pegawai Daerah Bagan Datoh, Datuk Hamzah Hussin. Beliau berkata kemudahan sedia ada di Pulau Lalang sedang dinaik taraf menerusi peruntukan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menampung kunjungan pelancong terutama pada hujung minggu. Katanya pembangunan kemudahan asas di Pulau Rumbia pula kini dalam proses reka bentuk dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula Februari depan dan akan siap dalam tempoh enam bulan. "Projek infrastruktur di dua pulau tersebut hanya melibatkan kemudahan-kemudahan asas seperti wakaf, tandas, surau serta dewan sahaja," katanya kepada pemberita di sini. Hamzah berkata selepas kesemua prasarana itu siap, pihaknya akan merancang promosi besar-besaran dan menggalakkan pelancongan di Taman Negeri Pulau Sembilan. "Tapi buat masa ini tiada perancangan untuk membina resort atau chalet di gugusan pulau itu disebabkan kawasan pantai yang pendek," katanya dan menambah jumlah pelancong ke pulau itu dihadkan kepada 150 orang sehari. Ditanya mengenai tarikan dua pulau berkenaan, Hamzah berkata kedua-dua pulau itu mempunyai terumbu karang yang cantik dilaporkan menjadi habitat pelbagai hidupan laut termasuk kuda laut, ikan lumba-lumba serta penyu. Lebih menarik, katanya adalah pemandangan kristal kebiruan di pesisiran pantai yang dikenali sebagai fenomena phytoplankton atau lebih dikenali dengan 'Blue Tears' pada sebelah malam. "Plankton mengeluarkan cahaya biru di sepanjang pantai apabila ada tindak balas kimia sama seperti filem 'Avatar' dan itulah tarikan ditunggu-tunggu pelancong terutama dari luar negara," katanya. Menurut Hamzah, Taman Negeri sedang menjalankan kajian untuk mengetahui waktu lazim fenomena phytoplankton muncul yang ketika ini hanya dikesan berlaku pada waktu senja. Mengenai jeti Bagan Datoh, Hamzah berkata ia sedang dalam proses naik taraf sebagai jeti pelancongan dan apabila siap kelak ia akan diguna untuk ke Taman Negeri Pulau Sembilan berbanding jeti Bagan Sungai Burung sekarang. Taman Negeri Pulau Sembilan terdiri daripada sembilan gugusan pulau iaitu Pulau Agas; Pulau Lalang; Pulau Saga; Pulau Nipis; Pulau Rumbia; Pulau Payong; Pulau Buluh; Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam. Namun hanya Pulau Lalang dan Pulau Rumbia sahaja mempunyai pantai dan sesuai dikunjungi pelancong untuk pelbagai aktiviti termasuk berkhemah, berkelah dan memancing. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan